• 2025-07-18 06:26 PM

PUTRAJAYA: Kelajuan bas melebihi dua kali ganda had laju yang ditetapkan merupakan antara punca kemalangan yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lepas.

Perkara itu didedahkan dalam laporan awal Pasukan Petugas Khas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini.

Rakaman kamera papan pemuka dan analisis kinematik menunjukkan kelajuan bas terbabit semasa kejadian melebihi 117 kilometer sejam (km/j), iaitu hampir dua kali ganda had laju kawasan iaitu 60 km/j.

“Berdasarkan urutan kejadian yang direkodkan dalam video kamera papan pemuka dan kesan fizikal di lokasi, bas telah tergelincir terlebih dahulu sebelum terbalik.

Ini menunjukkan kelajuan bas semasa insiden adalah sekurang-kurangnya melebihi kelajuan kritikal untuk tergelincir dan berkemungkinan besar melebihi kelajuan kritikal untuk terbalik,“ menurut laporan itu.

Kenderaan berkenaan terbalik ke sisi kiri sebelum bergesel dan menghentam penghadang jalan jenis W-beam, yang kemudiannya menembusi ke dalam ruang kabin dan menyebabkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang.

“Walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal.

Pemeriksaan awal mengenal pasti tanda-tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek namun keadaan ini juga boleh berpunca daripada penggunaan brek yang berlebihan atau tidak sesuai,“ kata laporan tersebut.

Bas terbabit tidak dilengkapi dengan sebarang peranti mengehad kelajuan seperti alat pengehad kelajuan (SLD) atau sistem pemantauan kelajuan (GPS) yang aktif, menyukarkan pengesanan kelajuan sebenar semasa kejadian.

Laporan itu turut mendedahkan ketiadaan tali pinggang keselamatan bagi semua tempat duduk penumpang kecuali tempat duduk pemandu adalah satu kelemahan serius dari segi keselamatan pasif.

“Sebelas daripada 15 mangsa yang maut duduk pada bahagian kiri bas iaitu zon impak utama akibat perlanggaran dengan penghadang jalan manakala seorang lagi duduk di barisan belakang yang turut terdedah kepada daya impak tinggi,“ menurut laporan itu.

Siasatan mendapati kedua-dua pemandu bas mempunyai rekod kesalahan jalan raya yang membimbangkan.

Pemandu pertama mempunyai 18 saman trafik dengan 13 belum dijelaskan, manakala pemandu kedua mempunyai sembilan saman aktif oleh JPJ dan 13 saman oleh PDRM yang belum dijelaskan.

“Sebahagian besar saman pemandu pertama melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju.

Rekod kesalahan yang tinggi ini mencerminkan corak pemanduan berisiko dan ketidakpatuhan berulang terhadap undang-undang jalan raya,“ kata laporan tersebut.

Ketiga-tiga syarikat pengendali bas iaitu Kenari Utara Travel & Tours, Noreen Maju Trading dan Nuratiqah Travel & Tours didapati gagal mematuhi keperluan keselamatan mandatori. - Bernama