MELAKA: Bedah siasat ke atas mayat ibu dan anak lelaki sulung yang mati dibunuh remaja lelaki berusia 17 tahun menemukan kesan tikaman ke atas dada dan belakang badan mangsa.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata terdapat kesan tikaman di dada dan belakang badan guru wanita berusia 51 tahun itu manakala anak lelaki sulungnya berusia 21 tahun pula maut selepas ditikam di dada.

“Anak lelaki bongsu mangsa berusia 13 tahun pula dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka dan dilaporkan dalam keadaan stabil,“ katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Terdahulu, suspek yang merupakan anak kedua mangsa, direman tujuh hari bermula hari ini hingga 19 Jun.

Perintah reman terhadap remaja itu dikeluarkan Majistret N. Sivashangari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media semalam melaporkan seorang guru wanita dan anak sulungnya maut manakala anak bongsunya cedera parah dipercayai akibat ditikam di rumah mereka.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 5 pagi dan ibu tunggal bersama anak lelakinya itu ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu.

Polis menahan suspek yang berada di luar rumahnya yang ketika itu dalam keadaan termenung selain menemukan senjata dipercayai digunakan dalam kejadian iaitu pisau lipat berukuran 20 sentimeter dengan kesan darah yang disimpan dalam beg sekolah di luar rumah.