KOTA BHARU: Sebanyak 115 pendatang tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dalam Op Kutip yang dijalankan di sekitar pusat bandar berkenaan semalam.

Pengarah JIM Kelantan Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata operasi yang berlangsung selama dua hari bermula kira-kira 2 petang itu melibatkan 16 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan.

“Bertindak atas hasil risikan, pemeriksaan dijalankan ke atas warga asing di Loji Rawatan Air Chicha, Kota Bharu. Hasilnya, imigresen menahan 114 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga India berusia antara 18 hingga 55 tahun.

“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata imigresen menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan pendatang atau sebarang aktiviti melibatkan warga asing yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara atau bersubahat dalam melindungi pendatang,” katanya.