KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu siap siaga dalam pelbagai aspek termasuk keanggotaan dan aset, bagi menghadapi banjir pada musim Monsun Timur Laut (MTL) yang akan melanda negara kali ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata ketika ini 1,236 pegawai dan anggota melibatkan kekuatan aset 37 bot, 42 lori dan 106 kenderaan pacuan empat roda sedia digerakkan ke lokasi banjir pada bila-bila masa.

Beliau berkata semua polis daerah juga telah diarah untuk melakukan persediaan awal bagi mengetuai, menyelaras serta menentukan atur gerak operasi bencana banjir bersama agensi penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi tugas di lapangan.

“Bagi penghantaran bantuan ke pulau-pulau pula, tugas telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Pelupusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.

Mohd Khairi berkata pihaknya juga telah mengenal pasti 451 lokasi berisiko banjir di seluruh Terengganu, justeru beliau mengingatkan orang awam terutama di kawasan berkenaan supaya sentiasa berada dalam keadaan berwaspada dan mengambil langkah persediaan sewajarnya.

“Di Kuala Terengganu ada 97 lokasi berkenaan, Kuala Nerus (48 lokasi), Marang (35 lokasi), Dungun (58 lokasi), Kemaman (55 lokasi), Hulu Terengganu (66 lokasi), Setiu (58 lokasi) dan Besut (34 lokasi). Untuk PPS (pusat pemindahan sementara) pula 590 PPS disediakan yang mampu menampung seramai 147,590 mangsa,” katanya.