KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 peserta daripada pelbagai kaum dan peringkat umur telah menyertai konvoi bermotosikal “Ride Merdeka MADANI” Parlimen Sungai Buloh.
Program ini dianjurkan bersama oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai sebahagian daripada sambutan Bulan Kebangsaan.
Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan berkata program itu bertujuan menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan mengetengahkan nilai kekeluargaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
“Mesej yang penting ini menunjukkan semangat kekeluargaan, kalau kita lihat hari ini, ada rakan-rakan komuniti India, Cina dan Melayu yang bersatu padu melaksanakan program ini bagi menunjukkan semangat kemerdekaan,” katanya.
Peserta berkonvoi sejauh 12 kilometer dari Menara AIM menuju ke Pejabat Ahli Parlimen Sungai Buloh sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Mereka berkumpul seawal 7.30 pagi dari seluruh pelosok Parlimen Sungai Buloh untuk menyertai acara tersebut.
Setiap peserta diberikan pengisian minyak motosikal secara percuma, baju khas merdeka dan topi keledar percuma bagi menjamin keselamatan.
Ramanan menegaskan bahawa kembara itu bukan sekadar aktiviti riadah namun simbol kesatuan hati dan jiwa rakyat Malaysia MADANI.
“Semangat inilah yang kita mahu terus pupuk dalam masyarakat, supaya Parlimen Sungai Buloh terus menjadi contoh kawasan yang harmoni, progresif dan bersatu padu,” katanya.
Beliau yakin semangat patriotisme semakin subur dalam kalangan rakyat melalui program seumpama ini.
“Dengan semangat ini, marilah kita bersama-sama memperkukuh perpaduan, memajukan ekonomi dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang sentiasa dihormati di persada dunia,” ujarnya. – Bernama