GOMBAK: Sebanyak 3,725 kenderaan perdagangan seperti treler dan lori diambil tindakan dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setakat lima hari operasi itu yang bermula sejak awal bulan ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata dalam tempoh lima hari operasi berkenaan, 42,343 buah kenderaan telah diperiksa dengan 28 kenderaan telah disita dan 9,088 notis dikeluarkan.

Loke berkata demikian pada sidang media selepas Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan Dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran & Ekspres) di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak di sini hari ini.

Operasi bermula 1 Ogos hingga 31 Ogos itu memfokuskan kepada kenderaan perkhidmatan barangan, kenderaan perkhidmatan awam (bas persiaran) berkaitan kesalahan teknikal, lalu lintas dan kesalahan-kesalahan utama lain, kata Loke.

Mengenai Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran & Ekspres) dari 2 Julai hingga 31 Julai lepas, Loke berkata sejumlah 19,456 bas persiaran dan ekspres diperiksa dengan 14 kenderaan disita dan 1,600 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Operasi Khas Bersepadu (2 Julai-31 Julai) telah memfokuskan kepada semua bas persiaran dan ekspres (untuk memastikan kenderaan itu) berada dalam keadaan selamat serta pemandu mempunyai lesen kompeten dan kenderaan yang mematuhi semua peruntukan undang-undang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kes Ketua Pengarah Jabatan Laut Kapten Mohamad Halim Ahmed yang didakwa di mahkamah berhubung surat pengecualian kepada syarikat perkapalan untuk membawa minyak gred berat di perairan negara tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan empat tahun lepas, Loke berkata pegawai berkenaan telah diarahkan bercuti.

“Ketua Pengarah Jabatan Laut telah mengambil cuti, tetapi doktrin bahawa beliau tidak bersalah sehingga didapati bersalah terpakai. Walau bagaimanapun, sebagai prosedur dalam perkhidmatan awam, beliau telah diminta bercuti dan mengosongkan pejabat beliau.

Pada Khamis lepas, Mohamad Halim mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menipu.