MELAKA: Lebih 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh selama tiga hari bermula 25 Julai ini.
Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata sambutan HKN 2025 yang bertema “Koperasi Pemacu Ekonomi MADANI” itu melibatkan pembukaan 200 reruai pelbagai kategori koperasi, agensi, kementerian dan peniaga.
Beliau berkata pelbagai acara dan aktiviti menarik menanti pengunjung dengan pelancaran HKN 2025 dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai.
“HKN dianjurkan untuk memperkenalkan kepada masyarakat tentang gerakan, peranan atau fungsi koperasi di negara ini sekali gus menarik minat mereka agar lebih banyak koperasi dapat ditubuhkan pada masa akan datang,“ katanya.
Menurutnya, Malaysia kini mempunyai 16,284 koperasi terdiri daripada koperasi mikro sehingga premier dengan jumlah keahlian kira-kira 7.22 juta.
Majlis Prapeluncuran HKN 2025 turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.
Ahmad Norihan menekankan penubuhan koperasi sebagai inisiatif meningkatkan taraf ekonomi komuniti melalui pelbagai aktiviti ekonomi berpotensi.
“Antara golongan sasar yang berpotensi menubuhkan koperasi ialah masyarakat luar bandar, komuniti wanita, Orang Asli, Felda, bekas tentera dan polis,“ jelasnya.
Sementara itu, Seah berkata jumlah koperasi di Melaka meningkat dari tahun ke tahun dengan lebih 500 koperasi direkodkan setakat ini.
Majlis Prapeluncuran HKN 2025 turut menyaksikan pelepasan 20 beca membawa tetamu kehormat ke Jeti Quayside Melaka untuk menaiki teksi air sambil mempromosikan HKN 2025.