JOHOR BAHRU: Seramai 523,342 pelajar di Johor telah menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan peruntukan sebanyak RM78.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata pemberian bantuan itu secara keseluruhannya melibatkan 1,193 sekolah rendah dan menengah di negeri itu.

“Pengagihan yang diberikan daripada kerajaan Pusat telah selesai diberikan hujung Februari lepas.

“Selain daripada bantuan ini, kerajaan negeri turut memberikan bantuan awal persekolahan tambahan menerusi program Bantuan Kasih Murid Johor,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Mohd Hanafi Samad.

Aznan berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM2.8 juta bagi program Bantuan Kasih Murid Johor yang akan memanfaatkan 11,200 pelajar sekolah rendah dan menengah.

Beliau berkata peruntukan itu disalurkan kepada 56 kawasan Anggota Dewan Undangan Negeri dengan setiap kawasan menerima RM50,000.

“Bantuan yang diberikan antaranya melibatkan keperluan barangan kelengkapan persekolahan dengan fokus bantuan diberikan kepada pelajar dari golongan kurang berkemampuan dan asnaf.

“Ini merupakan hasrat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga kurang berkemampuan,” katanya.

Sementara itu, rata-rata ibu bapa ketika ditemui meluahkan kelegaan atas bantuan yang diberikan kerajaan Pusat dan negeri itu.

Nor Shima Hasan, 32, berkata bantuan tersebut dapat membantu menjimatkan perbelanjaan tahunan awal persekolahan yang perlu ditanggung ibu bapa.

“Setiap tahun saya dan suami membelanjakan lebih RM2,000 untuk beli kelengkapan sekolah tiga anak yang bersekolah termasuk bayaran yuran, apabila ada bantuan sebegini, kami memang bersyukur sangat,” kata ibu kepada empat anak itu.

K Jayraj, 40, pula berkata, dia perlu membelanjakan lebih RM700 setahun hanya untuk membeli barangan persekolahan untuk empat anaknya.

“Saya lihat kerajaan banyak inisiatif bantuan termasuk bantuan untuk kurangkan beban ibu bapa, inisiatif ini bagus dan saya harap diteruskan,” katanya.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 khusus untuk tujuan BAP yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid. - Bernama