SEREMBAN: Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas terjatuh ke dalam mesin dandang di sebuah kilang kayu di Gemas, Tampin semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas Mohd Razeaf Zamri berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.19 malam sebelum 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan membawa jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Kedalaman dandang itu lebih kurang 10 kaki (3.04 meter)...kesukaran mengeluarkan mangsa adalah disebabkan haba yang masih panas di dalam mesin itu, anggota perlu memakai baju kalis api untuk masuk bagi mengeluarkan mangsa.

“Mangsa berusia 39 tahun itu dapat dikeluarkan daripada mesin tersebut pada 7.48 malam,“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mangsa mengalami lecur teruk dan disahkan meninggal dunia.

Mayat lelaki itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya.