• 2025-07-18 10:05 AM

KLUANG: Seorang lelaki berusia 55 tahun ditahan polis selepas video kelakuannya tidak sopan di tempat awam tular di media sosial. Kejadian itu berlaku di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Batu 4 pada jam 4.16 petang Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata suspek ditahan di tepi Jalan Besar Mersing kira-kira jam 5 petang semalam. “Melalui semakan, suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah, tetapi ujian air kencing negatif dadah,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan. Sebelum ini, video berdurasi 12 saat memaparkan lelaki tersebut melakukan aksi tidak senonoh sambil memegang telefon bimbit di tepi jalan raya tular di media sosial.