GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki dan dua wanita pembantu rumah warga asing serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM16,308 dalam serbuan di sebuah rumah di Simpang Ampat, Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata serbuan pada 5 petang itu dilakukan selepas polis bertindak hasil maklumat risikan dan intipan sejak dua minggu lepas.

“Semasa serbuan terdapat dua wanita dan seorang lelaki di rumah itu. Polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya eramin 5, ketamin, ekstasi dan methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) serta barang-barang disyaki peralatan menghisap dadah.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan sepucuk pistol tiruan, bebola plastik dan alat buku lima berbentuk pisau,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketiga-tiga individu itu berusia antara 29 hingga 44 tahun dan polis sedang menyiasat lanjut termasuk sama ada pistol itu digunakan untuk kegiatan jenayah.

Hamzah berkata lelaki itu mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala hasil saringan air kencing mendapati dia positif terhadap dadah.

Dua wanita itu pula tidak mempunyai sebarang rekod lampau, memiliki dokumen perjalanan yang sah serta negatif terhadap dadah.

“Ketiga-tiganya direman hingga 3 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Lelaki itu turut disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(1) (a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958,” katanya.