KUALA LUMPUR: Seorang bekas ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima wang deposit lebih RM130,000 tanpa lesen sah untuk tujuan pelaburan, 10 tahun lepas.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu selepas pembelaan Chow Sian Poh, 65, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dihadapi oleh warga emas berkenaan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Hermes Media Putra Ibrahim, yang mewakili Chow, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM20,000 kepada RM50,000.

Chow didakwa menerima wang deposit RM130,350.07 daripada pengarah syarikat komputer, Siaw Hum Kiow, 63, tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 di sebuah bank di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini antara 18 Julai dan 31 Julai 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh berjumpa Siaw sekitar April atau Mei 2014 dan telah mempelawa mangsa yang dikenalinya sejak 15 tahun lepas itu melabur dalam saham yang tersenarai di pasaran London serta diuruskan oleh seorang ahli perniagaan berjaya yang memiliki kasino di Pulau Jeju, Korea Selatan.

Siaw yang tertarik dengan tawaran itu telah membuat empat pindahan wang ke akaun yang ditetapkan oleh tertuduh dan menerima sijil pemilikan saham namun mangsa tidak mendapat sebarang pulangan membabitkan pelaburan itu.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azhan.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.