IPOH: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas dan dipercayai terjatuh di Sungai Cempias dekat Kuala Kangsar, ditemukan lemas hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mayat Nor Affendi Yusoff, 35, ditemukan terapung oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada 1.33 petang.

“Mayat ditemukan berdekatan Rumah Anak Yatim Sultan Abdul Aziz kira-kira satu kilometer daripada Pusat Kawalan Bomba (PKB) yang didirikan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata laporan polis dibuat semalam berkaitan mangsa yang hilang dan tidak pulang kerumah sejak Jumaat, sebelum pihak polis memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar berkaitan kes itu.

Sabarodzi berkata pihak bomba pula kemudiannya menjalankan operasi SAR di lokasi kejadian, iaitu tempat yang dipercayai mangsa jatuh berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pihak polis.