KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan berhampiran Balai Polis Bantuan Gohtong, Hulu Selangor, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.05 pagi.
Beliau berkata sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digegaskan ke lokasi kejadian, dan sebaik tiba pasukan itu mendapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan iaitu Toyota Corolla dan sebuah van Cam Placer-X.
“Pemandu Toyota Corolla Toh Yok Chai, 58, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) akibat tersepit di bahagian pemandu.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan alatan khas sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Sementara pemandu van Cam Placer-X Ahmad Munir Yunus, 33, mengalami kecederaan di bahagian kepala, dan dihantar ke Hospital Selayang,” katanya.