ALOR GAJAH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini hari ini, atas dakwaan melakukan khianat dengan api pada awal Jun lepas.

Yew Weng Dong, 25, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api yang menyebabkan kerosakan sebuah motokar jenis Perodua Alza milik Lim Fei Chin, 35, di sebuah rumah di Taman Mengkuang Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah pada 6 Jun lepas sekitar 3.30 pagi dan menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM8,281.82.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan juga dikenakan denda.

Hakim Nariman Badruddina memerintahkan Yew diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin, selain tertuduh tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa atau saksi sepanjang kes berjalan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 5 Ogos untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh diwakili peguam Dan Francis.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki diberkas polis selepas dipercayai mengambil upah daripada sindiket Along di Singapura, untuk melakukan kes khianat menggunakan bom petrol buatan sendiri.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata suspek yang bekerja dengan sebuah syarikat di Singapura menerima bayaran RM1,000 bagi setiap tugasan khianat bom petrol.