ALOR SETAR: Seorang lelaki kerugian lebih RM1 juta selepas tertipu dengan tawaran pelaburan ‘Warburg Pincus Legacy’ yang tidak wujud melalui laman media sosial Facebook sejak Feb lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Supt Loi Yew Lik berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada mangsa berusia 57 tahun di Balai Polis Kulim pada 9 Mei lalu berhubung kes penipuan pelaburan itu.

“Mangsa yang merupakan seorang peniaga telah menekan satu pautan yang dihantar kepadanya sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp. Pada awalnya, mangsa telah membuat bayaran modal berjumlah RM2,000 dan telah mendapat keuntungan kembali berjumlah RM780.

“Setelah itu, mangsa telah membuat bayaran modal lagi sebanyak 21 kali ke nombor akaun bank yang telah diberikan oleh suspek sehingga berjumlah lebih RM1 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang tidak mendapat sebarang pulangan keuntungan kemudiannya telah diminta untuk membuat bayaran tambahan berjumlah RM900,000 bagi mendapatkan kembali kesemua wangnya.

“Mangsa enggan membuat bayaran tambahan berkenaan kerana telah mula curiga dan percaya dirinya telah ditipu. Hasil siasatan mendapati laman media sosial Facebook itu palsu dan menggunakan nama sebuah syarikat pelaburan antarabangsa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Pihak polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan yang lumayan agar tidak menjadi mangsa sindiket pelaburan yang tidak wujud,” katanya.