GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang dirakam memandu kereta secara melulu dan membahayakan pengguna lain di bandar raya ini baru-baru ini telah ditahan polis di sini Khamis lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata warga tempatan berumur 38 tahun itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, selain turut mempunyai 12 rekod jenayah lampau termasuk dadah.

“Semakan video yang tular itu mendapati kejadian berlaku kira-kira 6.18 petang, 12 Sept lepas di Jalan Dato’ Keramat serta Lebuh Chulia di sini dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata suspek turut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana memecahkan cermin sebuah kenderaan menggunakan tangan, berkaitan kes jenayah berasingan yang dilaporkan Khamis lepas.

Beliau berkata suspek direman hingga esok, namun pihaknya akan memohon lanjutan perintah tahanan untuk siasatan lanjut sebelum membuat pertuduhan yang dijangka pada Isnin ini.

Terdahulu, video tular berdurasi tiga minit 52 saat itu memaparkan kereta Proton Wira berwarna emas dipandu dalam keadaan melulu sehingga melanggar sebuah kereta di hadapannya dan lelaki itu kemudian terus memandu kenderaannya sambil diekori pemandu kereta yang dilanggar sebelum kedua-dua mereka keluar dari kenderaan dan berlaku pertengkaran.

Suspek kemudian memasuki semula kenderaan dan terus memandu dalam keadaan bahaya tanpa menghiraukan pengguna jalan raya lain mahupun keadaan trafik yang sesak ketika itu.