SUNGAI PETANI: Lelaki yang tular di media sosial kerana menyeret seekor anjing di belakang motosikal di Bandar Puteri Jaya dekat sini, Ahad lepas, disahkan sebagai warga emas berusia 82 tahun yang mengalami masalah nyanyuk dan mudah lupa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata lelaki itu, semasa soal siasat mengaku melakukan perbuatan itu terhadap anjing peliharaannya, namun tidak dapat mengingati sebab berbuat demikian.

“Lelaki itu hanya menyedari kejadian tersebut selepas ditahan oleh orang awam semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hanyan anjing berkenaan telah dibawa oleh orang awam ke sebuah klinik haiwan berhampiran dan akan diserahkan kepada pihak veterinar selepas selesai menerima rawatan.

Pemeriksaan juga mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, tular sebuah video di Facebook memaparkan seekor anjing yang diikat dan diseret di belakang motosikal yang ditunggang seorang lelaki sehingga haiwan itu mengalami kecederaan. Kejadian itu dipercayai berlaku pada 4.30 petang Ahad lepas.