Your Title

KOTA BHARU: Mahkamah Majistret Tumpat hari ini mengeluarkan perintah reman terhadap seorang lelaki warga emas, kerana disyaki cuba menyeludup petrol dan diesel ke Thailand melalui pangkalan haram.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi, bagi tindakan melengkapkan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata lelaki berusia 61 tahun itu, ditahan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am dalam Op Taring Wawasan pada semalam.

“Hasil siasatan lanjut menemukan beberapa tong disyaki berisi minyak petrol dan diesel, dengan anggaran keseluruhan sebanyak 1,950 liter,” katanya.

Azman berkata jika sabit kesalahan suspek boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu dan RM2 juta bagi perbadanan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata KPDN Kelantan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral seperti itu dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.