SUNGAI PETANI: Lima beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka maut dalam kemalangan jalan raya Khamis lalu, di sini, menerima sumbangan dan faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pengarah PERKESO Kedah Rak Boon Tan Rat berkata pihaknya menyampaikan sumbangan pengurusan jenazah berjumlah RM4,000 kepada adik beradik itu, dan mereka turut akan menikmati faedah pencen penakat.
“Empat daripada lima beradik terbabit yang berusia bawah 21 tahun, layak menerima faedah pencen penakat sebanyak RM1,340.87 yang akan bermula pada bulan hadapan.
“Faedah tersebut akan diberikan sehingga mereka berusia 21 tahun dan akan diteruskan sehingga mereka menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan faedah pengurusan jenazah kepada adik beradik itu, di rumah mereka di Taman Pahlawan dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1 pagi, Khamis lalu, pasangan suami isteri Mohd Norzianal Mohd Inon@Inon, 46, dan Suhana Othman, 43, maut selepas motosikal jenis Duke KTM yang dinaiki mereka, melanggar tiang elektrik, dipercayai akibat cuba mengelak babi melintas, bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, dekat sini.
Pasangan itu meninggalkan lima orang anak, Nurul Fatin Hanani Azmi, 23, Aida Batrisya Mohd Norzianal, 17, Alya Batrisya, 16, Adlin Irfan, 15, dan Adib Ieman, 8.
Sementara itu, nasib lima beradik itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari, yang turut mengunjungi mereka hari ini.
Mohammed Taufiq berkata Pusat Khidmat Parlimen Sungai Petani akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan, dalam memastikan kebajikan adik beradik itu terus terjamin.
“Kita tak mahu pemberian secara sekali beri semata-mata, sebaliknya kita akan bantu secara berterusan, mereka masih bersekolah dan seorang masih menuntut di universiti, kita akan sama-sama berikan yang terbaik bagi memastikan masa depan mereka terjamin.
“Pusat Khidmat Parlimen Sungai Petani akan menyalurkan sumbangan seperti barangan keperluan harian atau biaya sekolah, atau apa-apa sahaja bantuan yang diperlukan lima beradik ini,” katanya.
Nurul Fatin Hanani ketika ditemui pemberita berkata, selepas pemergian kedua ibu bapanya, adik bongsunya Adib Ieman, sering menyebut kenangan terakhir mereka sekeluarga sewaktu bercuti di Kuala Lumpur.
“Arwah mama dan abah memang suka manjakan adik, sebab dia paling kecil, malam-malam adik akan cari mama dan abah nak tidur, sekarang kena ada bantal salah seorang, baru dia lena, kadang-kadang dia akan tengok Tik-tok mama untuk lepaskan rindu,” katanya.
Tambahnya, sebagai anak sulung daripada lima beradik, dia kini menggalas tugas besar untuk menjaga empat orang adiknya.
“Pada awalnya saya agak give-up...saya ada berniat nak berhenti belajar sebab fikir nak urus adik-adik, tapi dengan sokongan ramai termasuk saudara, saya kuatkan semangat akan terus belajar sampai habis,” katanya. - Bernama