LAHAD DATU: Polis menahan lima lelaki termasuk tiga anggota polis disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan ketum di sebuah rumah di Taman Harapan semalam. Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail mengesahkan penahanan itu dilakukan menerusi Op Tapis pada jam 11.30 pagi.
“Hasil penahanan mereka, polis merampas 0.41 gram syabu, 224 liter cecair ketum, 8.20 liter ubat batuk, satu pedang samurai serta enam parang, kesemuanya dianggar bernilai RM11,655.40,“ jelas Dzulbaharin dalam kenyataan hari ini.
Kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 38 tahun itu direman sehingga 2 Ogos ini untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. - Bernama