• 2025-08-20 10:45 AM
Lima remaja didakwa kes buli Zara Qairina di mahkamah

KOTA KINABALU: Lima remaja perempuan bawah umur dijadual didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini pagi ini berhubung kes buli pelajar Zara Qairina Mahathir.

Mereka yang berumur di bawah 18 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut berhubung kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang mengancam, kesat atau menghina.

Kesemua remaja itu tiba di pekarangan mahkamah menaiki sebuah van diiringi kenderaan polis pada 8.25 pagi.

Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah meneliti kertas siasatan kes kematian pelajar itu.

Siasatan tersebut dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia dan memutuskan untuk menuduh beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada.

AGC turut memaklumkan prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina yang berusia 13 tahun.

Mahkamah Koroner di sini pada Isnin menetapkan 3 Sept ini untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina.

Pada 12 Ogos, AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh PDRM berhubung kes tersebut.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai.

Beliau ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai. - Bernama