KUANTAN: Lima sekeluarga warga tempatan maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Jerantut Feri, Jerantut, tengah malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Razam Taja Rahim berkata kejadian kira-kira 12 tengah malam itu melibatkan Perodua Bezza dan Toyota Alphard.
Beliau berkata tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 26 tahun yang berada di dalam Perodua Bezza meninggal dunia di lokasi kejadian, dengan dua mangsa tersepit dan tiga lagi tercampak keluar.
“Mangsa yang menaiki Toyota Alphard terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati Toyota Alphard dalam perjalanan dari Pulau Tawar menuju ke Jerantut, manakala Perodua Bezza dalam perjalanan dari Bota, Perak, menghala ke Jerantut.
Mohd Razam berkata tiga mangsa yang cedera di hantar ke hospital berhampiran dengan bantuan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)