GEORGE TOWN: Lima lelaki warga Myanmar yang bekerja sebagai penjaga sangkar ikan di perairan Pulau Pinang cuba melarikan diri dengan terjun ke laut bagi mengelak ditahan pihak berkuasa dalam Operasi Patkor Optima Malindo, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Kapten Razali Kasim berkata tindakan mereka ternyata sia-sia apabila pasukan penyelam berjaya menahan kesemua suspek dalam operasi bermula 2.30 petang itu.

“Kami menjalankan serbuan di dua sangkar ikan dan lima lelaki itu bertindak terjun ke laut sebelum menyorok di bawah tong biru yang telah diubah suai untuk dijadikan pelampung. APMM turut menggerakkan Skuadron Selam di bawah koordinasi Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dalam operasi kali ini,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek berusia 20-an hingga 40-an tinggal di negara secara tidak sah dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Operasi bersepadu itu melibatkan 70 anggota pelbagai agensi antaranya Pasukan Polis Marin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan serta Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang.

“Operasi bersepadu itu dijalankan berikutan pengaktifan Operasi Patkor Optima Malindo 31A/2024 iaitu operasi dwitahunan secara bersama antara Malaysia dan Indonesia dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan di Selat Melaka,“ katanya.