• 2025-07-09 02:10 PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meminda notis usul berhubung pembekuan aset bernilai GBP132 juta di London, United Kingdom. Aset tersebut didakwa milik isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, serta keluarganya.

Aset terlibat termasuk dua bangunan komersial di St Mary Axe dan One Crown Court, tiga kediaman mewah di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate, dua unit kediaman di Gloucester Place, serta satu akaun bank di CAF Bank Limited (UK) yang dikaitkan dengan The Ilham Foundation.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid meluluskan permohonan pindaan tersebut setelah Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide menjelaskan bahawa perubahan melibatkan penambahan butiran dalam notis usul. “Permohonan secara ex-parte adalah untuk meminda notis bertarikh 30 Mei 2025 dengan menambah alamat penuh dan nombor hak milik mengikut format pihak berkuasa UK, serta meminda tarikh dan nilai pembelian harta tidak alih,“ jelas Maziah.

Sementara itu, peguam Syed Afiq Syed Albakri yang mewakili Na’imah memaklumkan bahawa enam syarikat, termasuk The Ilham Foundation, memohon untuk menjadi pencelah dalam kes ini. Namun, pihak pendakwaan membantah permohonan tersebut.

Hakim Azhar kemudian menetapkan tarikh untuk pihak pendakwaan memfailkan afidavit balasan pada 25 Julai, manakala enam syarikat terbabit perlu memfailkan afidavit balasan sebelum 6 Ogos. Pengurusan kes seterusnya dijadualkan pada 8 Ogos.

Sebelum ini, pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menyatakan bahawa lapan kertas siasatan dibuka berikutan maklumat baharu daripada agensi luar mengenai pemilikan harta Daim dan keluarganya. “Maklumat terbaharu menunjukkan aset milik Daim, keluarga, dan proksi tidak diisytiharkan kepada SPRM semasa siasatan 2023,“ kata Azam.