• 2025-07-17 08:38 PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan terhadap seorang warden pusat tahfiz yang didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah menolak rayuan Tengku Mohammad Khaireel Tengku Wahab, 32, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 17 Oktober 2023.

Hakim Azman menyatakan keterangan mangsa, yang berusia 11 tahun enam bulan ketika kejadian, adalah kukuh dan disokong oleh doktor klinik kesihatan. “Mangsa menangis semasa memberi keterangan di Mahkamah Sesyen. Aduan ini melibatkan seorang ustaz yang dihormati, yang bukan sahaja mencemarkan reputasi suspek tetapi turut memberi kesan emosi kepada mangsa,“ katanya.

Mengenai hukuman, Hakim Azman berkata perayu sepatutnya melindungi pelajar tetapi telah mengkhianati kepercayaan itu. “Hukuman 10 tahun penjara dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan bukanlah keterlaluan. Ia perlu menimbulkan rasa gerun kepada perayu dan memberi mesej jelas kepada masyarakat,“ tegasnya.

Tengku Mohammad Khaireel didakwa di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di bilik warden pusat tahfiz pada 1 Disember 2020.

Awalnya, Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan, tetapi Mahkamah Tinggi Kuantan kemudian menaikkan hukuman penjara kepada 10 tahun dan mengurangkan sebatan kepada satu bagi setiap pertuduhan.

Peguam perayu, Mohd Shuhairil Ziqrul Sapi, berhujah bahawa keterangan mangsa tidak konsisten dan dua saksi kanak-kanak lain tidak dipanggil. Namun, Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad menegaskan keterangan mangsa adalah konsisten dan disokong oleh doktor serta saksi lain. - Bernama