GEORGE TOWN: Sistem kehakiman syariah di Malaysia perlu diperkukuh dengan penambahbaikan menyeluruh bagi menangani isu penangguhan kes berpanjangan.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, menegaskan kelewatan penyelesaian kes sering berpunca daripada penangguhan berulang dan pentadbiran tidak efisien.
“Penangguhan berlaku kerana pelbagai faktor, termasuk ketidakhadiran peguam atau permohonan tanpa alasan kukuh. Ini bukan sahaja membuang masa, malah menzalimi pihak tidak bersalah seperti dalam kes perceraian, nafkah, dan hadanah,“ katanya selepas menyampaikan pembentangan di Konvensyen Perundangan dan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang.
Zaki menekankan hakim perlu lebih tegas menolak permohonan penangguhan tidak berasas.
“Mahkamah adalah alat keadilan, tetapi jika kes ditangguh bertahun-tahun, kita sebenarnya menafikan keadilan itu sendiri,“ ujarnya.
Beliau turut mencadangkan penambahbaikan sistem perkhidmatan mahkamah syariah untuk memudahkan golongan kurang berkemampuan.
“Bahagian pentadbiran boleh sediakan templat permohonan untuk memudahkan mereka memfailkan kes. Peguam juga digalakkan membantu secara pro bono,“ katanya. – Bernama