• 2025-07-25 08:30 PM

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 8 Ogos depan sebagai tarikh keputusan kes seorang bekas pelajar kolej swasta yang didakwa membunuh bayi perempuannya yang baru dilahirkan lima tahun lalu.

Hakim Rofiah Mohamad membuat penetapan itu selepas mendengar hujah daripada Timbalan Pendakwa Nurul Khairiah Dahalaan, peguam RSN Rayer, dan Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Timur Laut Mohd Zahir Harun.

“Mahkamah memerlukan masa untuk membuat keputusan bagi meneliti laporan sosial yang dikemukakan serta hujah pihak pendakwaan dan rayuan pihak pembelaan,“ kata Rofiah.

Peguam pembelaan, Rayer, memohon mahkamah mempertimbangkan umur tertuduh ketika kejadian iaitu 18 tahun, yang dikategorikan sebagai pesalah muda. Beliau juga meminta tempoh tahanan reman selama empat bulan diambil kira sebagai faktor mitigasi bagi menggantikan hukuman penjara dengan jaminan atau bon berkelakuan baik.

“Anak guam saya mengalami masalah kemurungan teruk dan disahkan oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, ketika mendapatkan laporan perubatan pada 16 Jun 2022. Beliau juga telah melalui fasa living in hell akibat tohmahan masyarakat sehingga hari ini, yang boleh dikatakan satu hukuman juga,“ jelas Rayer.

Beliau turut memohon mahkamah mengambil kira latar belakang tertuduh sebagai pelajar cemerlang di sekolah serta tekanan emosi yang dialami oleh tertuduh dan keluarganya akibat kejadian tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Nurul Khairiah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam, meskipun tertuduh dikira pesalah muda.

“Hasil forensik mengesahkan bayi berkenaan dilahirkan dalam keadaan masih hidup. Tertuduh dilaporkan membalut mangsa dengan sehelai kemeja-T sebelum membuangnya keluar dari tingkap rumah,“ katanya.

“Sekiranya bayi perempuan tersebut masih hidup, beliau akan tumbuh membesar menjadi seorang bayi perempuan yang comel dengan usia lebih kurang empat tahun dalam dunia,“ tambah Nurul Khairiah.

Tertuduh, yang kini berusia 23 tahun, didakwa melakukan perbuatan itu di Apartmen Sri Ivory, Bandar Baru Ayer Itam pada 8.25 pagi 10 Julai 2020 mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama