KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM288,000 untuk diagihkan kepada 240 pelajar Tingkatan Enam semester dua yang berada di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.
MAIPs dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua pelajar itu daripada sembilan sekolah menengah di Perlis dengan setiap seorang menerima bantuan sebanyak RM1,200.
Menurut kenyataan tersebut simbolik pengurniaan untuk agihan secara berfasa kepada penerima yang layak dan dipilih pihak sekolah itu disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kepada Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Ariffin pada majlis di Masjid Darul Ibadah, Padang Behor di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor dalam kenyataan sama berkata sumbangan berkenaan manifestasi keprihatinan MAIPs terhadap keperluan pendidikan anak-anak Perlis yang berpotensi melangkah ke peringkat lebih tinggi khususnya menerusi program prauniversiti Tingkatan Enam.
“MAIPs menyedari pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang sangat penting dan berharap sumbangan ini bukan sekadar meringankan beban tetapi turut menjadi dorongan moral kepada pelajar untuk terus cemerlang dan membina masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
Mohd Nazim turut menzahirkan harapan agar pelajar di negeri itu tidak mudah berputus asa sekiranya tidak diterima masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi kerana masih berpeluang untuk menyambung pelajaran di Tingkatan Enam di bawah kelolaan JPN Perlis.
Menurut kenyataan itu Pencapaian Gred Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Perlis bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 berada pada paras terbaik dengan 2.87 mata iaitu meningkat 0.02 mata berbanding 2.85 mata pada 2023 sekali gus mengatasi PNGK Kebangsaan yang mencatatkan 2.85 mata.
Perlis juga mencatat 98.78 peratus calon lulus penuh dalam peperiksaan berkenaan dengan 20 pelajar cemerlang mencapai 4.00 PNGK berbanding 16 orang dalam STPM 2023.