PUTRAJAYA: Malaysia akan terus menyokong mandat Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UN-Habitat) memandangkan negara akan mencapai 85 peratus kadar perbandaran menjelang 2040.
Perkara itu antara yang diutarakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam pertemuan dengan Pengarah Eksekutif UN-Habitat yang baharu dilantik Anaclaudia Rossbach di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Nga dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia percaya pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu yang diterima pakai oleh lebih 190 negara di bawah PBB menjadi kaedah konstruktif untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari PBB.
Beliau juga menyatakan mengenai komitmen berterusan Malaysia untuk menyokong Agenda Perbandaran Baharu yang akan membantu negara anggota di rantau Asia Pasifik bagi menyediakan dan mengemukakan laporan mereka.
UN-Habitat diberi mandat oleh PBB untuk mempromosikan bandar dan pengurusan bandar yang mampan dari segi sosial dan alam sekitar dengan matlamat menyediakan tempat perlindungan mencukupi buat semua.
Malaysia turut mengucapkan tahniah kepada Rossbach dari Brazil atas pelantikan itu untuk menggantikan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang memegang jawatan berkenaan dari 2018 hingga 2024.