• 2025-10-22 01:23 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia akan membawa tiga deklarasi utama sebagai usaha memerangi jenayah rentas sempadan di rantau ini pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata deklarasi itu hasil daripada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-19 yang berlangsung di Melaka.

Sidang kemuncak ASEAN ini berfungsi sebagai jambatan penting yang memastikan hasil perbincangan AMMTC diterjemahkan menjadi dasar nyata pada peringkat kepimpinan ASEAN.

AMMTC ke-19 di Melaka telah bersetuju menerima pakai Pelan Tindakan ASEAN dalam Memerangi Jenayah Transnasional 2026-2035.

Pelan tindakan itu memberi fokus kepada kerjasama risikan, pengukuhan sistem keadilan, keselamatan digital, ketahanan sosial serta peningkatan kapasiti penguatkuasaan.

Deklarasi pertama ialah Deklarasi Pemimpin ASEAN Mengenai Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang diterajui Malaysia.

Deklarasi ini menegaskan komitmen ASEAN untuk memperkukuh integriti kewangan serantau melalui pengawalseliaan lebih ketat.

Deklarasi kedua ialah Deklarasi Pemimpin ASEAN Mengenai Pemantauan dan Penangkapan Buron Jenayah Rentas Sempadan yang diusulkan Vietnam.

Deklarasi ini menegaskan keperluan kerjasama ASEAN untuk mempercepat pengesanan, penahanan dan pemulangan penjenayah rentas sempadan.

Deklarasi ketiga ialah Deklarasi Pemimpin ASEAN Mengenai Pemanfaatan Sukan sebagai Alat Memperkukuh Ketahanan Sosial terhadap Ekstremisme diusulkan Indonesia.

Deklarasi ini memperkenalkan pendekatan progresif dengan menjadikan sukan sebagai alat membina ketahanan sosial dan mencegah radikalisme.

Ketiga-tiga deklarasi itu menjadi asas penting menjelang Sidang Kemuncak ASEAN yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

Saifuddin Nasution berkata Malaysia bangga menjadi tuan rumah kepada perbincangan strategik yang membuktikan kemampuan diplomasi negara.

Beliau menegaskan kesungguhan Malaysia menjadikan ASEAN sebagai rantau selamat, inklusif dan berdaya tahan.

Semangat Malaysia MADANI dibawa ke pentas ASEAN untuk membina rantau yang aman, progresif serta berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober.

Pertemuan itu akan menyaksikan penyertaan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India. – Bernama