KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menurunkan sebanyak 2,354 kandungan deepfake dan 46,966 kandungan palsu bagi tempoh tiga tahun sejak 1 Januari 2022.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 Oktober lepas, MCMC mengemukakan sebanyak 3,074 permohonan kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan kandungan deepfake dengan 2,354 kandungan atau 77 peratus berjaya diturunkan.
Bagi kandungan palsu pula, beliau berkata sebanyak 55,218 permohonan dibuat dan 46,966 kandungan diturunkan iaitu 85 peratus.
“Tindakan penurunan ini dibuat berdasarkan aduan yang diterima serta garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh setiap platform, selaras dengan undang-undang tempatan.
“Kerjasama dengan platform media sosial dan agensi penguat kuasa turut giat dijalankan bagi menangani penyebaran maklumat palsu, termasuk kandungan palsu yang dijana oleh AI,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Teo menjawab soalan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) berhubung langkah membendung penyalahgunaan teknologi AI seperti deepfake, ChatGPT dan lain-lain dalam penyebaran berita-berita palsu.
Beliau berkata kerajaan juga telah menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) bagi meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia.
Akta tersebut bertujuan mengawal selia kandungan memudaratkan serta mengadakan peruntukan bagi kewajipan dan obligasi bagi pemberi perkhidmatan aplikasi, pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dan pemberi perkhidmatan rangkaian yang dilesenkan.
Beliau berkata MCMC sedang membangunkan instrumen subsidiari di bawah Akta 866 selain membangunkan peraturan dan kod dengan tumpuan kepada pengurusan risiko dalam talian.
“Bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti pemberi perkhidmatan dalam memenuhi obligasi keselamatan dalam talian, mereka dikehendaki untuk menyediakan suatu pelan keselamatan dalam talian mengenai pematuhan terhadap kewajipan di bawah Akta 866,” katanya.
Selain itu, Teo berkata MCMC juga sedang mengkaji pengenalan kaedah pengesahan umur dan identiti pengguna bagi memastikan kebolehlaksanaan secara praktikal di platform dalam talian.
Kajian ini bertujuan mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan mudarat terutamanya bagi pengguna kanak-kanak. – Bernama