KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat menyertai Global Coalition for Social Justice pada Persidangan Buruh Antarabangsa ke-114 tahun hadapan.
Kementerian Sumber Manusia memaklumkan perkara itu dizahirkan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim (gambar) dalam pertemuan bersama Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa Gilbert F. Houngbo.
Global Coalition for Social Justice merupakan inisiatif Pertubuhan Buruh Antarabangsa sejak 2023 bertujuan memperkukuh usaha global ke arah keadilan sosial sejagat.
Penyertaan Malaysia adalah untuk menzahirkan komitmen negara untuk terus melindungi hak pekerja dan memperluas jaringan perlindungan sosial.
Ini juga menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Turut hadir dalam pertemuan berkenaan termasuk wakil kerajaan, pekerja dan majikan antaranya Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Datuk Abdul Halim Mansor juga hadir dalam pertemuan tersebut.
Hadir sama Naib Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Mohd Zool Asmani Mahmood.
Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Sumber Manusia Raja Mohd Nizam Raja Kamarulbahrin turut menghadiri pertemuan itu.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Houngbo ke Malaysia dan ia berlangsung dalam suasana santai penuh keakraban.
Suasana pertemuan itu mencerminkan semangat keterbukaan dan persahabatan asas hubungan Malaysia-Pertubuhan Buruh Antarabangsa sejak sekian lama.
Houngbo dijadual menghadiri Forum Kemahiran Global 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad di Kuala Lumpur esok.
Forum tersebut dijangka menjadi wadah penting memperkukuh kerjasama serantau dalam agenda pembangunan kemahiran dan pekerjaan masa depan. – Bernama