KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi menjadi hab inovasi teknologi di Asia Tenggara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata untuk mencapai matlamat itu, ia memerlukan kerjasama antara sektor kerajaan, swasta dan akademik untuk mewujudkan ekosistem yang menyokong inovasi di setiap peringkat.

“Kita perlukan sekarang ialah jurutera yang bukan sahaja dapat buat reka bentuk, buat bangunan tapi untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan bukan saja di negara kita tetapi permasalahan global.

“Dengan penyelesaian yang dihasilkan melalui penyelidikan, kita dapat membekalkan solusi kepada cabaran yang dihadapi oleh dunia dalam pelbagai sektor, termasuk sektor bangunan dan teknik pembinaan.

“Sekarang kita menuju ke arah tenaga hijau dan penyelesaian mesra alam, kita memerlukan jurutera untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan ini memerlukan input dan kepakaran jurutera,“ katanya selepas merasmikan Konvensyen Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) 2024 di sini hari ini.

Fadillah dalam ucapan perasmian berkata pelaburan dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah penting bagi memastikan golongan belia bersedia dan terinspirasi untuk menangani cabaran masa depan kerana asas penguasaan kejuruteraan terletak pada pendidikan.

Beliau berkata institusi pendidikan mesti dilengkapi bagi menyediakan generasi jurutera masa depan dengan kemahiran, pengetahuan dan kreativiti diperlukan dalam landskap global yang sentiasa berubah.

“Dengan lebih 200,000 jurutera dan ahli teknologi kejuruteraan berdaftar dengan BEM, dan purata tambahan 15,000 pendaftaran baharu setiap tahun, kumpulan ini mewakili sumber sedia ada untuk memenuhi permintaan kerja kejuruteraan yang semakin meningkat.

“Bagaimanapun, untuk mengekalkan aliran pendaftaran yang stabil, usaha berterusan penting bagi menggalakkan lebih ramai pelajar mengikuti kursus dan kerjaya kejuruteraan,” katanya.

Fadillah turut menyeru perubahan ke arah menggalakkan budaya kreativiti dan keusahawanan untuk memperkasakan jurutera kerana ini akan membolehkan pembangunan penyelesaian relevan di peringkat tempatan dan berdaya saing di peringkat global.

Terdahulu, Fadillah menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) dan BEM.

MoU itu bertujuan memudahkan proses pendaftaran graduan kejuruteraan dari universiti tempatan dengan BEM sebelum mereka menamatkan pengajian, bagi mempersiapkan mereka untuk bekerja dalam bidang kejuruteraan.

IPT terlibat ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).

Ia termasuk Universiti Selangor (UNISEL), MAHSA University, Taylor’s University, SEGi College and Swinburne University of Technology Sarawak.

Open Two Websites with Image

Clickable Image