PUTRAJAYA: Malaysia mencatat potensi perdagangan bernilai RM100 juta untuk tempoh tiga tahun akan datang melalui penyertaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam Festival Makanan dan Kebudayaan New Zealand 2025 (FFNZ25). Acara tersebut berlangsung di Auckland, New Zealand, dan berjaya menarik minat pelbagai pihak dengan 156 pertanyaan perniagaan serta nilai perdagangan segera mencecah RM34.36 juta.
Penyertaan sulung KPKM dalam FFNZ25 membuktikan produk agromakanan Malaysia mendapat permintaan tinggi di pasaran New Zealand. “Kejayaan ini membuktikan sambutan luar biasa daripada pengunjung setempat terhadap FFNZ25, yang mengetengahkan pelbagai aktiviti serta sesi persampelan makanan yang berjaya menarik perhatian ramai,“ menurut kenyataan Pejabat Perwakilan Pertanian Malaysia di Sydney.
Festival yang diadakan di Auckland Showgrounds itu menyaksikan penyertaan lapan syarikat Malaysia yang memperkenalkan 125 produk tempatan, termasuk produk berasaskan durian, kek lapis Sarawak, ikan sejuk beku, dan produk berasaskan nanas. Kerajaan Perak turut membawa empat usahawan untuk menyertai acara tersebut.
Bertemakan ‘Taste of Malaysia’, FFNZ25 dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki. Hubungan perdagangan antara kedua-dua negara kekal kukuh dan disokong oleh empat Perjanjian Perdagangan Bebas. Selain mempromosikan produk makanan, Pavilion Malaysia turut memperkenalkan Tahun Melawat Malaysia 2026.