KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan bahawa sebarang jeda dalam konflik di Gaza tidak boleh dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan bantuan kemanusiaan. Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Jumaat menekankan keperluan mendesak untuk akses tanpa halangan bagi mengelakkan kebuluran besar-besaran.
Wisma Putra menyatakan penghargaan terhadap usaha gencatan senjata 60 hari yang dicadangkan Amerika Syarikat dengan pengantaraan Mesir dan Qatar. Namun, Malaysia menyeru agar inisiatif ini membawa kepada gencatan kekal dan bukannya sekadar taktik sementara.
Kenyataan itu juga mengulangi kecaman keras terhadap tindakan rejim Israel di Gaza dan Tebing Barat, termasuk serangan terhadap infrastruktur awam serta aktiviti peneroka haram. “Tindakan ini melanggar undang-undang antarabangsa secara serius,“ tegas Wisma Putra.
Malaysia turut menegaskan komitmennya terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, termasuk penubuhan negara Palestin berdaulat dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara. Selain itu, Malaysia menyokong penuh keanggotaan Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).