TAWAU: Malaysia berada di kedudukan ke-13 dalam Indeks Keamanan Global (GPI) tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata walaupun menduduki tempat ke-10 pada tahun lepas, namun skor indeks keamanan negara masih kekal dan Malaysia pernah berada di tempat ke-19 pada 2023.
“Ada negara termasuk di rantau Scandinavia yang menyaksikan peningkatan skor pada dua indikator termasuk soal biaya bagi pasukan pengaman (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Negara itu mengatasi kita walaupun skor kita kekal sama kerana prestasi mereka meningkat.
“GPI ini mengandungi puluhan indikator dan jika dibandingkan dengan lebih 160 negara di dunia, kita berada di landasan yang betul. Kita perlu mengekalkan momentum keamanan ini dan memanfaatkan indikator GPI,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampung Angkat MADANI Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di Kampung Inderasabah di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata antara usaha yang perlu dilakukan bagi meningkatkan GPI adalah menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program taklimat dan tinjauan keselamatan bersama diplomat negara asing.
“Kementerian membawa sendiri diplomat dari negara berpotensi besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah ke pantai timur Sabah supaya mereka boleh melihat dan menggalakkan rakyat mereka melawat Malaysia,“ katanya dan menambah program berkenaan memberi impak positif terhadap peningkatan pelancong ke pantai timur Sabah.
Menurut GPI 2025 yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP), Malaysia mencatat skor GPI 1.469 untuk berada di kedudukan ke-13 daripada 163 negara. - Bernama