KUALA LUMPUR: Kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi dan sosial seluruh dunia mendorong Particle Pte Ltd, bekerjasama dengan Fondazione ICA Milano, mengadakan pameran seni dikenali “Fragilita”.
“Fragilita”, menampilkan konsep kerapuhan dalam penghasilan seni kontemporari.
Duta Itali ke Malaysia, Cristiano Maggipinto (gambar), berkata masing-masing empat pelukis Itali dan Malaysia terlibat dalam pameran yang boleh dilayari di www.particle.art/fragilita bermula 10 Mei
“Seni dan budaya penting kerana dapat membantu kita menghadapi dan bertahan dengan wabak tersebut. Kita semua berasa lebih rapuh kerana pandemik itu.
“Pandemik boleh terjadi pada bila-bila masa dan kita harus bersedia, pameran ini menyoroti kerapuhan keadaan manusia dari sudut pandang ini,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif, baru-baru ini.
Disokong Kedutaan Itali di Malaysia, Maggipinto berkata pameran itu awalnya dirancang diadakan di Kuala Lumpur tetapi ditangguhkan kerana Covid-19.
Kurator pameran “Fragilita” adalah pengarah Fondazione ICA Milano Alberto Salvadori, pengarah MAN di Nuoro Luigi Fassi dan Pengarah Galeri Lim Wei Ling di Kuala Lumpur, Lim Wei Ling.
Pelukis terlibat ialah Anida Yoeu Ali, Riccardo Benassi, Anurendra Jegadeva, MASBEDO, Maria D Rapicavoli, Wong Chee Meng, Francesco Simeti, dan Rajinder Singh.
Beliau berkata satu lagi pameran seni yang mengetengahkan konsep kelestarian akan dilancarkan pada September atau Oktober tahun ini, bersempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 (COP26) di Glasgow.
“Sebagai rakan kongsi, Itali akan mengatur pertemuan pra-COP26 dan program remaja di Milan pada akhir September yang disebut Youth 4 Iklim. Wakil Malaysia juga akan turut serta dalam acara ini.
“Menerusi projek ini, kami ingin menonjolkan konsep kelestarian melalui kerjasama budaya antara Itali dan Malaysia,“ kata Maggipinto.- Bernama