• 2025-07-08 10:20 AM

KUALA LUMPUR: Malaysia secara rasmi menjemput pengeluar pesawat terkemuka seperti Airbus dan Embraer untuk menjadikan negara ini sebagai pusat aktiviti penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO) serta rantaian bekalan.

Langkah ini diambil susulan perjanjian pembelian pesawat oleh syarikat penerbangan tempatan seperti AirAsia dan Malaysia Airlines.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyatakan bahawa kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembelian pesawat, tetapi juga memastikan pelaburan tersebut memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi negara.

“Ini strategi untuk pastikan pembelian pesawat bukan sekadar transaksi satu hala, tetapi turut menarik pelaburan dalam sektor aeroangkasa,“ katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Perancis mempertimbangkan Malaysia sebagai lokasi pemasangan akhir (final assembly line) pesawat Airbus memandangkan syarikat itu kini menghadapi tempahan tinggi.

“Airbus mempunyai lebih 8,000 pesawat dalam senarai tunggu. Kami harap mereka boleh melabur lebih di Malaysia bagi memperkukuh rantaian bekalan,“ jelas Loke.

Sekiranya pelaburan ini berjaya dilaksanakan, ia dijangka memberi impak besar kepada industri aeroangkasa tempatan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

“Ini adalah sebahagian daripada diplomasi penerbangan yang kita usahakan,“ tambahnya.

AirAsia baru-baru ini menandatangani perjanjian pembelian pesawat Airbus A321XLR bernilai RM51.72 bilion, dengan penghantaran dijangka bermula pada 2028. Sementara itu, Malaysia Aviation Group (MAG) menambah tempahan pesawat A330neo kepada 40 unit, dengan penghantaran dijadualkan antara 2029 dan 2031.

Selain itu, syarikat tempatan Composites Technology Research Malaysia (CTRM) turut mendapat kepercayaan Airbus dan Boeing untuk menghasilkan komponen pesawat. Embraer pula mempunyai hampir 200 pesawat E-Jets beroperasi di rantau Asia Pasifik. - Bernama