• 2025-09-22 01:40 PM

PUTRAJAYA: Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-25 dalam IMD World Talent Ranking 2025, mencerminkan keupayaan negara sebagai destinasi utama profesional global.

Malaysia menduduki tangga kelima di peringkat Asia-Pasifik selepas Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Australia.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyatakan kejayaan ini adalah hasil pendekatan holistik Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sebagai pemudah cara utama ekosistem bakat Malaysia.

“KESUMA menyelaras dasar tenaga kerja, inisiatif pembangunan kemahiran, program latihan industri serta kerjasama dengan industri dan akademia,” katanya.

Transformasi struktur KESUMA memberikan penekanan kepada pemerkasaan dasar, peningkatan kemahiran serta pemahiran semula untuk memastikan tenaga kerja negara kekal kompetitif.

Sim berkata TalentCorp di bawah KESUMA menggerakkan Majlis MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) dan program Kolaborasi Industri-Akademia (IAC).

Inisiatif ini sejajar dengan amalan antarabangsa yang menekankan penyelarasan pembangunan kemahiran mengikut sektor dan keperluan industri.

Pendekatan bersepadu meliputi pendidikan, latihan, penyelidikan, dan kerjasama industri–akademia merupakan kunci kejayaan Malaysia.

Strategi ini bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab bakat serantau yang kompeten, adaptif, dan mampan.

Daya saing ekonomi negara pada peringkat global akan terus dipacu melalui pembangunan bakat yang berterusan. – Bernama