KUALA LUMPUR: Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 ke kedudukan ke-23, yang merupakan pencapaian terbaik negara sejak 2020, sekali gus mencerminkan momentum progresif dalam agenda pemulihan dan pembaharuan ekonomi negara.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, kedudukan terkini ini, peningkatan daripada tangga ke-34 tahun lalu, turut mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033, seperti yang disasarkan oleh Kerangka Ekonomi MADANI.
“Faktor-faktor prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan memacu keseluruhan prestasi daya saing Malaysia, “ kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.
Dari segi prestasi ekonomi, Malaysia menduduki tempat keempat di dunia, meningkatkan empat mata daripada kedudukan kelapan tahun lepas.
“Faktor kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan meningkat sebanyak lapan mata. Subfaktor perdagangan antarabangsa meningkat 11 anak tangga ke kedudukan keenam, disokong oleh pertumbuhan rancak eksport barang dan perkhidmatan, kepelbagaian pasaran, dan peningkatan terimaan pelancongan, sekali gus memantapkan lebihan dagangan Malaysia,“ kata MITI
Kementerian itu juga yakin dengan tadbir urus kukuh, komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta kerjasama erat dengan industri, Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk menempatkan diri dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing dunia sebelum 2033.
Mengulas mengenai perkara ini Menteri MITI Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz pendekatan Kerajaan MADANI untuk meningkatkan daya saing berdasarkan prinsip whole-of-government (pendekatan keseluruhan negara) juga membuktikan kesungguhan Kerajaan dalam memacu penambahbaikan dan pembaharuan struktur di Malaysia secara menyeluruh.
”Peningkatan daya saing negara sebanyak 11 anak tangga di kedudukan ke-23 berbanding tempat ke-34 tahun lepas mencerminkan bahawa faktor-faktor birokrasi saling berkait dengan, antara lainnya, pelaburan dan pembangunan industri, yang kedua-duanya penting bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih,” katanya.
MITI, melalui Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN) – yang dipengerusikan bersama dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan – menyelaras hala tuju strategik merentas pelbagai kementerian sekali gus memperkukuh ekosistem agenda daya saing negara.
Di peringkat operasi, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) – yang diterajui Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar – memastikan pelaksanaan berkesan dalam peningkatan daya saing, termasuk lebih 1,000 inisiatif di bawah program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), selari dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
WCR diterbitkan setiap tahun oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland.
Ia merupakan laporan komprehensif yang menilai sesebuah ekonomi berdasarkan keupayaan mereka untuk menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang.