• 2025-07-18 09:46 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi dan inovasi asli dalam negara, bukan hanya menghasilkan lebih banyak produk, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan memberi keutamaan kepada penglibatan tempatan dan pemindahan teknologi maju bagi mewujudkan pekerjaan berkualiti, meningkatkan keupayaan teknikal, serta membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi pembekal global.

“Apa yang kita mahukan ialah kesan limpahan yang mendorong inovasi tempatan, melahirkan jurutera dan juruteknik, menyokong institusi latihan, dan mempercepat pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh,” katanya semasa Majlis Pelancaran Rasmi Jaecoo J8 Premium Off-road First Class.

Tengku Zafrul menegaskan bahawa pelancaran kenderaan pacuan empat roda premium itu bukan sekadar pengenalan produk baharu, tetapi juga simbol pengukuhan hubungan antara Malaysia dan jenama automotif China, Chery.

“Apabila pengguna semakin berpengetahuan dan menuntut kualiti serta inovasi lebih tinggi, pelancaran hari ini membawa mesej jelas bahawa Malaysia sedang muncul sebagai hab strategik bagi jenama automotif global,” ujarnya.

Beliau turut mengalu-alukan usaha Chery dalam memperkukuh kehadiran tempatan melalui peningkatan kandungan tempatan, pembangunan vendor, dan pemindahan kemahiran.

“Langkah ini penting untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bernilai tinggi bagi teknologi mobiliti generasi baharu,” jelasnya.

Tengku Zafrul juga menekankan kepentingan industri automotif sebagai tonggak ekonomi negara, dengan lebih 700,000 pekerja dan sumbangan lebih 4.0 peratus kepada KDNK.

“Seperti digariskan dalam Dasar Automotif Nasional 2020, sasaran kita ialah menyumbang RM104.2 bilion kepada KDNK menjelang 2030,” katanya.

Untuk mencapai matlamat itu, beliau menyeru industri supaya melabur dalam R&D dan membina keupayaan dalam bidang perisian, elektronik, dan bahan mampan. - Bernama