LUMUT: Malaysia mempertahankan hak kedaulatan setiap negara termasuk Iran yang diserang Israel baru-baru ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, bersama dengan Iran dalam mempertahan hak serta maruah negara.
“Sebab itu saya beritahu kawan-kawan saya dalam Jemaah Menteri, Malaysia ini biarlah ada keupayaan. Kita negara merdeka, kita berdaulat dan kita mesti pertahankan hak sahabat-sahabat kita termasuk Iran yang telah dizalimi, dan kita pertahankan hak Iran untuk serang balas mempertahankan maruah negara mereka,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront, di sini hari ini.
Jumaat lepas Israel melancarkan beberapa siri serangan terhadap wilayah Iran yang mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan saintis negara itu, dan sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel, mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.