• 2025-06-20 08:43 PM

PUTRAJAYA: Malaysia dan Rusia bersetuju memulakan rundingan bagi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) merangkumi kerjasama dalam integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi kebombaan, teknologi simulasi penerbangan serta latihan kemahiran anggota bomba.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan persetujuan dicapai ketika sesi perbincangan dua hala Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dengan Menteri Pertahanan Awam, Kecemasan dan Pengurusan Bencana Alam Rusia (EMERCOM) Kol Jen Alexander Kurenkov semalam.

Menerusi kenyataan hari ini, KPKT memaklumkan pertemuan itu menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik antara Malaysia dan Rusia khususnya dalam bidang kebombaan dan penyelamatan.

Nga dalam kenyataan sama berkata MoU antara KPKT dan EMERCOM itu akan merangkumi kerjasama dalam integrasi AI dalam operasi kebombaan, teknologi simulasi penerbangan, serta latihan kemahiran anggota bomba.

“Dengan memperkukuh hubungan diplomatik bersama Rusia, saya percaya kita dapat meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan negara melalui kerjasama strategik, pertukaran teknologi, dan perkongsian kepakaran dalam kebombaan dan pengurusan bencana,” katanya.

KPKT turut menyatakan minat untuk meneroka dan menilai potensi penggunaan teknologi kebombaan Rusia, termasuk sistem pemadaman aerosol EXA dan serbuk pemadam IPEX keluaran syarikat Pyrogen.