KUALA LUMPUR: Kerajaan telah membuat penentuan muktamad afirmatif bagi penerusan pengenaan duti anti-lambakan ke atas import produk besi atau keluli bukan aloi gegelung gulungan sejuk (CRC), dengan kelebaran melebihi 1,300mm yang berasal atau dieksport dari China dan Jepun
Dalam kenyataan pada Sabtu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan perkara itu tidak termasuk plat hitam kilang timah dan dagangan subjek yang diimport bagi maksud penggunaan akhir automotif dan finwall untuk transformer.
Kadar duti anti-lambakan bagi syarikat China adalah melibatkan Angang Steel Company Limited pada 4.82 peratus; Maanshan Iron and Steel Co., Ltd (4.76 peratus); Shougang Jingtang United Iron & Steel Co., Ltd (8.74 peratus); dan lain-lain pengeluar dan pengeksport (26.38 peratus).
Kementerian itu memaklumkan kadar duti anti-lambakan bagi semua pengeluar dan pengeksport Jepun pula adalah pada 26.39 peratus.
“Kutipan duti anti-lambakan itu akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia selama lima tahun mulai 23 Jun, 2025 hingga 22 Jun, 2030,” tambah MITI.
Menurut MITI kerajaan juga telah membuat penentuan muktamad negatif bahawa duti anti-lambakan dan siasatan ke atas dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari Korea Selatan dan Vietnam ditamatkan mulai 23 Jun, 2025.
Keputusan itu adalah susulan kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan terhadap import produk besi atau keluli bukan aloi CRC, dengan kelebaran melebihi 1,300mm tidak termasuk plat hitam kilang timah dan dagangan subjek yang diimport bagi maksud penggunaan akhir automotif dan finwall untuk transformer (dagangan subjek) yang berasal atau dieksport dari China, Jepun, Korea Selatan dan Vietnam.
“Kajian semula pentadbiran (bermula 24 Dis, 2024) ini dijalankan oleh kerajaan bagi menentukan sama ada penamatan duti anti-lambakan yang berkuat kuasa berkemungkinan menyebabkan lambakan dan kemudaratan berterusan atau berulang terhadap industri Malaysia,” jelas MITI.
Pihak berkepentingan termasuk industri tempatan, pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan kajian semula pentadbiran ini boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan penentuan muktamad dengan membuat permohonan secara bertulis kepada Pengarah Seksyen Amalan Perdagangan MITI, tambahnya.