KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa sedih dan takziah berikutan kejadian jet pejuang tentera Bangladesh terhempas di sebuah sekolah di Dhaka, semalam. Tragedi itu mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang, termasuk kanak-kanak, manakala lebih 100 lagi cedera.
“Hati saya luluh apabila mendapat tahu mengenai nahas jet pejuang yang terhempas di sebuah sekolah di Dhaka. Ramai yang terkorban, kebanyakannya kanak-kanak. Lebih 100 lagi cedera,“ kata Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut memuji keberanian guru Maherin Chowdhury yang gugur semasa menyelamatkan lebih 20 pelajar dari bangunan yang terbakar. “Keberanian luar biasa beliau tidak akan dilupakan,“ ujarnya.
Anwar juga menyatakan niat untuk menghantar surat kepada pemimpin sementara Bangladesh dan pemenang Hadiah Nobel, Prof Muhammad Yunus, sebagai tanda solidariti Malaysia.
“Kami sentiasa ada bersama anda dalam saat duka ini. Kami turut bersedih atas setiap nyawa yang terkorban dan keluarga yang terkesan,“ tambahnya.
Kejadian berlaku pada Isnin apabila pesawat F-7 BGI mengalami masalah teknikal sejurus berlepas dan terhempas di bangunan Milestone School and College di Uttara Diabari, Dhaka. Juruterbang Lt Towkir Islam antara yang terkorban, manakala 165 lagi cedera. - Bernama