KUALA LUMPUR: Jentera kerajaan diseru agar memanfaatkan sebaiknya Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada 2025 sebagai landasan untuk meningkatkan profil dan nama negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Khas Peluncuran Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook, Anwar berkata adalah penting penekanan yang lebih diberikan terhadap usaha ‘merakyatkan ASEAN’ dan merealisasikan Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat dalam memacu pembangunan serta pertumbuhan serantau secara kolektif dalam kerangka blok serantau itu.

Beliau berkata mesyuarat itu juga membincangkan persediaan dari sudut substantif dan logistik bagi Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia yang akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.

“Saya singgung akan peri pentingnya memastikan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang lancar, berjaya dan bermakna dengan persediaan yang rapi,” katanya. - Bernama