• 2025-07-06 09:28 PM

MUKAH: Seorang lagi mangsa bot karam di perairan Pantai Belawai dekat Kampung Belawai ditemukan hari ini, menjadikan jumlah kematian lima orang setakat ini.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mayat kanak-kanak lelaki yang belum dikenal pasti itu ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian pada pukul 6 petang.

“Status terkini mangsa bot karam ialah lima disahkan meninggal dunia, lima masih hilang dan tujuh terselamat,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa yang masih hilang terdiri daripada lima lelaki dewasa.

Operasi mencari dan menyelamat dalam radius tiga kilometer dari lokasi kejadian ditangguhkan pada pukul 6.40 petang dan akan disambung semula esok.

Kejadian berlaku pada pukul 2.11 petang semalam melibatkan bot gentian fiber yang membawa 17 penumpang warga Indonesia dari Jeti Nelayan Kampung Belawai ke Jeti Ladang Kelapa Zion Pelita.

Tujuh mangsa terselamat terdiri daripada empat lelaki, dua wanita dewasa, dan seorang kanak-kanak lelaki.

Empat mangsa yang ditemui meninggal dunia termasuk dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki, dan seorang kanak-kanak perempuan. – Bernama