KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 80,000 liter diesel berdekatan ladang kelapa sawit di Sungai Lebam, di sini, malam tadi.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata berdasarkan maklumat risikan, pihaknya telah melakukan rondaan kira-kira 10 malam di perairan Sungai Lebam dan mengesan sebuah kapal tangki.

Beliau berkata APMM telah menahan 10 lelaki terdiri daripada lapan kru kapal melibatkan dua warga Indonesia serta dua warga tempatan yang merupakan pemandu lori, berusia 19 hingga 60 tahun.

“Ketika penahanan dibuat, kapal yang berdaftar di Zanzibar, Tanzania itu, dipercayai sedang memindahkan minyak. Bagaimanapun, apabila menyedari kehadiran Maritim, kapal berkenaan cuba lari daripada agensi penguat kuasa.

“Kita percaya sindiket ini menggunakan pam dan hos minyak sepanjang 600 meter untuk memindahkan minyak diesel daripada lori tangki ke kapal. Kapal ini juga pernah ditahan Maritim sebelum ini atas kesalahan berlabuh secara haram,” katanya kepada pemberita di Pos Maritim Pengerang, Tanjung Pengelih, di sini hari ini.

Turut dirampas sebuah kapal tangki, dua lori tangki minyak, sebuah Perodua Bezza dan pam minyak dengan keseluruhan rampasan bernilai RM3.62 juta.

Bagaimanapun, Nurul Hizam berkata pihaknya masih menyiasat bagaimana dan sejak bila sindiket itu aktif.

“Ini merupakan tangkapan pertama Maritim Johor tahun ini yang melibatkan sindiket penyeludupan minyak diesel,” katanya.

Beliau berkata kesemua yang ditahan akan dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 491B (1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Peraturan 18 Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kastam 1967. - Bernama