BUKIT MERTAJAM: Lembaga Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasar untuk menampilkan 150 syarikat Malaysia di Ekspo China-Asean 2024 (CAEXPO 2024) yang akan berlangsung di Nanning, China dari 24 hingga 28 Sept, 2024.

Pengarah Matrade bagi China dan Asia Timur Laut serta Asean dan Oceania Mazlan Harun berkata penyertaan dalam pameran itu penting susulan kedudukan Malaysia sebagai sumber import terbesar China dalam kalangan negara Asean, mengatasi Vietnam dan Indonesia.

Beliau berkata itu menunjukkan potensi besar pasaran China bagi perniagaan Malaysia.

“Tahun ini, penyertaan kita akan menjadi lebih signifikan kerana kita telah dijemput untuk menjadi Negara Kehormat bagi CAEXPO edisi ke-21, dan pavilion Malaysia akan diberikan tumpuan khas.

“Kita akan mengetengahkan pavilion yang jauh lebih besar, menyediakan ruang mencukupi untuk syarikat Malaysia mengetengahkan pelbagai produk mereka,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Promosi CAEXPO 2024 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata Matrade menawarkan lebih daripada sekadar ruang reruai kepada syarikat itu memandangkan masing-masing akan mempunyai peluang rangkaian dengan pembeli berkualiti melalui padanan perniagaan yang diatur lebih awal yang dianjurkan dengan kerjasama Sekretariat CAEXPO dan China Construction Bank, disokong oleh Kedutaan China di Malaysia.

Mazlan menekankan bahawa sepanjang penganjuran 20 edisi ekspo itu, CAEXPO merekodkan penyertaan lebih 2,000 syarikat Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, menjana jualan bernilai lebih RM6.3 bilion, dengan 1.3 juta pengunjung.

Penyertaan Malaysia adalah peluang unik untuk menampilkan produk dan perkhidmatan terbaik negara kepada pasaran China yang luas dan dinamik, melebihi satu bilion penduduk, dengan penggunaan domestik mencecah 47.15 trilion yuan (US$6.63 trilion), katanya.

Selain itu, beliau berkata penyertaan syarikat Malaysia dalam CAEXPO 2024 akan memperingati ulang tahun ke-50 bubungan diplomatik Malaysia-China selain menyumbang kepada kejayaannya yang berterusan.

Mazlan menggesa perniagaan Malaysia supaya memanfaatkan pasaran China yang luas dengan menampilkan jenama mereka dan membina hubungan dengan peserta utama semasa CAEXPO 2024.

Beliau berkata pavilion Malaysia mencatatkan jualan berjumlah RM625.42 juta tahun lepas, dengan tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani untuk jualan seterusnya.

Sebanyak 107 syarikat, bersama dengan sembilan kementerian dan agensi kerajaan, menyertai Matrade di CAEXPO tahun lepas, katanya.

Perdagangan Malaysia dengan China tetap signifikan pada suku pertama 2024, dengan jumlah perdagangan melebihi RM112 bilion, peningkatan 3.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama 2023.

Hadir sama pada acara itu ialah Konsulat Besar China di Pulau Pinang Zhou Youbin dan Timbalan Setiausaha Agung Sekretariat CAEXPO Liang Yiguang.